Tuesday, October 20, 2009

Sejarah Radio Malaysia ASYIKfm

ARKIB UTUSAN MALAYSIA : 02/01/2007


Asyik FM ‘Lain Dari Yang Lain’

Oleh MOHAMMAD ARIF NIZAM ABDULLAH

MULAI semalam, stesen radio Asyik FM tampil dengan wajah baru melalui pertambahan waktu siaran yang menjanjikan hiburan menarik dan unik kepada pendengar.

Asyik FM yang dahulunya dikenali sebagai Radio 7 Siaran Orang Asli kini bersiaran selama 14 jam berbanding sembilan jam sejak April 2001.

Menggunakan ungkapan `Lain Dari Yang Lain’, Asyik FM menyajikan banyak pilihan buat pendengar setianya yang melebihi 55,000 orang melalui rangkaian lagu tradisional dan moden Orang Asli selain lagu retro, 60-an dan popular masa kini.

Namun tanpa mengetepikan peranan sebagai stesen penyiaran kerajaan, Asyik FM masih meneruskan tanggungjawabnya menyalurkan dasar dan rancangan kerajaan untuk pendengarnya.

Ketua Pengarah Penyiaran RTM, Datuk Abdul Rahman Hamid berkata: “Asyik FM akan terus memberikan pelbagai input mengenai peluang-peluang membina kemajuan diri.

“Justeru segmen-segmen yang membicarakan pembangunan pertanian teknologi akuakultur dan pendidikan kesihatan moden akan terus disalurkan.

“Saya yakin segmen-segmen seperti itu dapat memberi manfaat kepada pendengar kerana saya difahamkan terdapat Orang Asli yang berubah cara hidupnya daripada seorang petani tradisi kepada petani moden setelah mendengar segmen Pertanian Moden melalui siaran ini,” katanya ketika berucap pada majlis pelancaran wajah baru Asyik FM di Angkasapuri, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Bukan untuk Orang Asli sahaja
Abdul Rahman turut menyatakan, RTM menyasarkan peningkatan pendengar sebanyak 50 peratus berdasarkan wajah baru Asyik FM yang mampu menarik perhatian masyarakat Malaysia keseluruhannya.

“Asyik FM bukan hanya untuk masyarakat Orang Asli tetapi semua rakyat Malaysia. Ini kerana stesen ini boleh didengar di mana sahaja menerusi asyikfmonline.blogspot.com,” ujarnya lagi.

Sementara itu, bagi yang ingin berkenalan dengan Asyik FM, anda boleh menukar siaran di frekuensi FM91.1, 102.5 dan 105.1 Mhz.

Asyik FM juga dapat didengar di sebahagian besar Lembah Klang, Selangor, Negeri Sembilan, Melaka, Perak Tengah, Pahang Barat, Johor Timur dan terbaru di kawasan Cameron Highlands.

Menarik tentang Asyik FM ialah semua tenaga kerja termasuk penyampainya seramai 16 orang, penerbit dan penyampai berita terdiri daripada Orang Asli yang mampu bertutur dalam bahasa pribumi dengan baik.

Penyampai radionya pula menggunakan empat dialek bahasa Orang Asli iaitu Semai, Temiar, Jakun dan Temuan selain bahasa Melayu.

Segmen menarik Asyik FM

Salam Yeh Yah - 8.00 pagi - 10.00 pagi

Kecun Kecan - 10.00 pagi - 2.00 petang

Renyah - 2.00 petang - 6.00 petang

Sambil Kakdil Sambil Berpihoi - 6.00 petang - 10.00 malam

Sejarah Asyik FM
* Ditubuhkan pada 1959 dan dikenali sebagai Siaran Orang Asli.

* Ketika itu, siarannya dipancarkan melalui gelombang pendek 49 meter dengan waktu siaran selama 30 minit sebulan sekali. Penyampainya hanya menggunakan dialek Semai dan Temiar.

* Pada tahun 1994 sehingga 2001, stesen ini dikenali sebagai Radio 7 Siaran Orang Asli dengan ungkapan ‘Pilihan Anda’. Mulai 1 April 2001, dua lagi dialek digunakan oleh penyampainya iaitu Jakun dan Temuan.

* Sempena penjenamaan semula RTM pada 1 April 2005, Radio 7 Siaran Orang Asli ditukar dengan nama baru iaitu Asyik FM dengan ungkapan ‘Lain Dari Yang Lain’.

Perkembangan siaran Asyik FM
1959 - 30 minit (tempoh siaran)

1961 - 1 jam

1973 - 2 jam

1994 - 4 jam

1997 - 6 jam

2001 - 9 jam

2007 - 14 jam

No comments:

Post a Comment